[ KENYATAAN BERSAMA MAHASISWA ] HAPUSKAN UNDANG-UNDANG DISKRIMINASI AGAMA DAN HORMATI HAK DEMOKRASI MAHASISWA

Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak polis India yang menyerang himpunan bantahan besar-besaran mahasiswa daripada Jamia Milia Islamia (JMI) dan Aligarh Muslim University (AMU) atas keputusan parlimen India yang meluluskan Citizenship Amendment Bill 2019 (CAB) yang memberikan kewarganegaraan kepada pelarian penganut agama minoriti kecuali agama Islam.

Kelulusan CAB oleh kerajaan India nyata bercanggah dengan prinsip sekular yang termaktub dalam perlembagaan India. Bahagian III, Artikel 15(1) jelas menyatakan larangan diskriminasi kepada semua warganegara tidak kira agama, kaum, kasta, jantina atau tempat lahir.

Tindakan pihak polis memasuki kampus tanpa keizinan dan merosakkan kemudahan universiti seperti bilik kuliah dan perpustakaan adalah satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab dan wajar dikenakan tindakan. Siri tembakan gas pemedih mata dan serangan kepada mahasiswa jelas tidak menghormati hak asasi mereka untuk berhimpun secara aman tanpa dikasari di dalam negara demokrasi.

Dengan ini, kami mendesak;
I. Kerajaan India dan polis menghentikan segala bentuk serangan ke atas mahasiswa dan membebaskan mahasiswa yang ditahan.
II. Kerajaan India menghormati dan menjamin hak kebebasan mahasiswa untuk berhimpun dalam menyatakan bantahan dan pendirian mereka.
III. Kerajaan India menghormati serta menuruti artikel 15(1) dan artikel 20(1), Deklarasi Hak Asasi Manusia yang menjamin semua insan mempunyai hak kewarganegaraan dan hak untuk berhimpun secara aman.
IV. Kerajaan India membatalkan semula kelulusan CAB yang jelas bercanggah dengan prinsip sekular yang termaktub dalam perlembagaan India.

22 DISEMBER 2019