SALAM AIDILFITRI 1441H

SALAM AIDILFITRI 1441H

Ramadan bulan hidayah, Ramadan bulan pendidikan yang telah pergi meninggalkan kita. Pada ketika itu, orang-orang beriman berpusu-pusu melakukan amal kebaikan dan meninggalkan keburukan. Inilah tanda rahmat dan kasih sayang Allah kepada hambaNya, dengan memberi bulan istimewa kepada hambaNya yang penuh keberkatan, pengampunan dan hidayah.

Walaupun sudah berakhir program pendidikan Ramadan selama 30 hari, Allah SWT mengingatkan kita supaya terus mengagungkanNya atas hidayah yang diberikan. Firman Allah SWT dalam kitab suci-Nya, Al-Quran:

“…Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas pertunjukNya yang diberikan kepadamu supaya kamu bersyukur.”
(Al-Baqarah: 185)

Moga-moga walaupun sudah berakhir bulan Ramadan kita tetap taat, bertakbir dan bersyukur kepadaNya atas nikmat hidayah yang telah diberikan.

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar.

Mudah-mudahan puasa kita itu diterima oleh Allah SWT sebagai ibadah yang khusyuk dan ikhlas, sehingga memberi bekas yang tetap pada diri dan jiwa kita. Bekas, yang berupa kesedaran akan kedudukan kita sebagai makhluk Tuhan yang Maha Esa.

Mudah-mudahan juga latihan rohani yang telah kita jalani itu, benar-benar dapat membersihkan jiwa kita dari sifat-sifat yang tidak baik, dan benar-benar puasa itu mengukuhkan ruh dan semangat kita, agar kita sampai kepada darjat orang yang bertakwa, sebagaimana yang dimaksudkan oleh firman Allah:

“Wahai orang-orang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”- (Al-Baqarah: 183)

Setiap tahun kita menyambut Aidilfitri. Ia mengunjungi kita dalam keadaan berbeza-beza. Berbeza, dan berlainan suasana kehidupan kita dalam merayakan Aidilfitri itu dari tahun-ketahun, silih berganti.

Kita yang telah menjalani ibadah puasa dari tahun-ketahun silih berganti, adalah ibarat orang bertenun. Harapan kita ialah menenun sifat-sifat dan budi pekerti yang mulia dan menjadi pakaian peribadi kita. Semoga, dengan bertambah lanjutnya usia kita, makin masak dan mendalamlah keluhuran budi; bertambah tinggi kelapangan dada dan bertambah luas kejernihan pandangan.

Demikianlah, moga-moga kita terpelihara dari keadaan yang diperingatkan dalam Al-Quran:

“Dan janganlah kamu jadi seperti perempuan dalam cerita lama yang merombak kembali tenunannya sehelai benang demi sehelai, sesudah ditenunnya” – (An-Nahl: 92)

Pada tahun ini, kita dilanda satu ujian yang menakutkan. Wabak COVID-19 telah melanda seluruh dunia dan mengancam jutaan nyawa manusia. Pada ketika perutusan ini ditulis, wabak COVID-19 telah meragut 100 lebih nyawa di Malaysia dan 330,000 lebih nyawa di seluruh dunia. Hari kemenangan yang sepatutnya disambut dengan penuh kegembiraan menjadi hari yang suram bagi keluarga yang hilang orang tersayang akibat wabak ini.

Sektor-sektor ekonomi baru sahaja dibuka. Namun, pertumbuhan ekonomi negara dijangka kekal perlahan sehingga ke tahun hadapan. Ada sebahagian daripada saudara-saudara kita hilang pekerjaan, hilang sumber pendapatan dan menghadapi beban kewangan. Ini bukanlah hari raya Aidilfitri yang kita idamkan akan tetapi pasti ada hikmah disebalik segala ujian yang diberikan oleh Tuhan.

Dalam saat di mana tekanan rohani dan jasmani sedang memuncak, bagi yang beriman dan bertakwa pasti akan sentiasa terdengar di dalam telinga dan hatinya:

“(Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan” – (At-Talaq: 7)

Hari raya Aidilfitri memperingatkan kita tentang dua perkara. Pertama, memperbaiki dan menjaga hubungan antara manusia dengan manusia dalam pergaulan dan hidup bermasyarakat. Kedua, hasil dari pendidikan bulan Ramadan, menjadikan kita lebih baik, rapat dan erat hubungan dengan Sang Pencipta.

Mengambil intisari daripada dua aspek di atas – yang semestinya menjadi dasar perjuangan orang yang bertakwa – pada saat ujian ini melanda, saya percaya menjaga dan mengeratkan lagi hubungan ukhuwah (persaudaraa) dapat membantu memudahkan kehidupan saudara-saudara kita.

Tolong-menolonglah saudara-saudara kita yang dalam kesusahan. Tolong menolong adalah adat dunia yang hendak hidup dalam kerukunan, sejahtera dan aman damai. Yang demikian itu adalah bertentangan jauh dengan faham “berebut hidup” atau struggle of life; yang menjanjikan kejayaan menyambung nyawa dan memanjangkan hidup bagi yang menang dan yang lebih kuat (survival of the fittest), sambil menewaskan, mengecewakan dan mentertawakan hidup siapa yang lemah dan yang kurang pandai.

Bukanlah perebutan hidup yang harus menjadi pokok pangkal hidup bermasyarakat itu, melainkan berlumba-lumba dalam kebaikan, memperbanyak manfaat kepada sesama manusia seperti disebut dalam hadis:

“Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak bermanfaa bagi sesama manusiat” – (Riwayat Ahmad dan Thabrani)

Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian, kehidupan bukanlah perebutan rezeki dan pengaruh. Bukan tindasan yang kuat kepada yang lemah. Bukan pertentangan yang kaya dengan yang miskin. Tapi hidup ialah perlumbaan di dalam menegakkan sebanyak-banyak kebajikan untuk manusia. Hidup ialah iman dan amal soleh.

Itulah dua tali, yakni iman dan amal soleh, tali Allah dan tali manusia, yang harus kita pegang teguh yang satu sama kuatnya dengan yang lain.

Pada fasa ini, sambutlah Aidilfitri dengan serdahana dan lihatlah saudara dan jiran-jiran tertangga kita yang kesusahan dan bertanyalah khabar mereka. Berjuanglah melawan ujian ini dengan membantu mereka setakat mana yang kita mampu dengan bantuan-bantuan yang diperlukan oleh mereka. Mudah-mudahan, dengan amal kebajikan kita yang kecil itu dapat mengukir senyuman di hari Raya Aidilfitri ini buat mereka.

Bersempena bulan mulia ini juga, marilah kita semua memperbanyak doa kepada Allah SWT semoga wabak COVID-19 ini dapat berakhir dan penawarnya dapat dijumpai dengan segera.

Semoga kehidupan kita pada masa akan datang lebih sejahtera dan harmoni dan penuh dengan amal soleh, insya-Allah.
Akhir kata, mewakili keluarga besar HARMONI Malaysia, kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua umat Islam yang menyambutnya.

Taqaballahu minna waminkum.

Muhammad Faiz Bin Abd Talib
Naib Pengerusi 1
HARMONI Malaysia